Isnin, 13 Mei 2013

Sekolah Akan Dirasmikan oleh Raja Dr Nazrin Shah


SMK Toh Johan, Trong akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada hari Isnin, 24 Jun 2013.


Sehubungan dengan itu, persiapan rapi sedang diatur untuk menyambut keberangkatan DYMM Pemangku Raja Perak.  Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perasmian SMK Toh Johan yang dipengerusikan oleh Yang Berusaha Tn. Hj. Muhamat Roli bin Haji Hassan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah diadakan pada 10 Mei 2013.

______________________________________________________________


Raja Dr Nazrin, 57, yang diputerakan pada 27 November 1956 di Pulau Pinang, sebelum ini pernah dilantik sebagai Pemangku Raja ketika Sultan Azlan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-9 dari tahun 1989 hingga 1994.

Putera sulung Sultan Azlan dan Tuanku Bainun itu diisytihar sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1984, kira-kira dua minggu selepas Sultan Azlan ditabal sebagai Sultan Perak.

Raja Dr Nazrin menerima pendidikan awal di St. John's Institution, Kuala Lumpur dan memiliki Sarjana Muda (Kepujian) dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, Sarjana dalam Pentadbiran Awam dari Kennedy School of Government, Harvard University dan ijazah Doktor Falsafah dalam Ekonomi Politik dan Kerajaan, Universiti Harvard.

Baginda dilantik sebagai Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya sejak 1989 dan pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar serta menerima jemputan menjadi Fellow Eminent Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia berkuatkuasa 1 Mei, 2007.

Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Zara di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, pada 17 Mei 2007.

-- BERNAMA [ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=310589 ]