Sabtu, 14 Julai 2012

Murid-Murid Potensi Cemerlang SPM 2013

Murid-murid yang berpotensi untuk cemerlang dalam SPM 2013.
Sila klik pada gambar di atas untuk melihatnya lebih jelas.

Seramai 13 orang murid Tingkatan 4 telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Murid-murid yang terpilih ini mestilah berusaha bersungguh-sungguh dari sekarang supaya akan dapat mencapai matlamat yang dikehendaki itu.

Kualiti-kualiti murid cemerlang adalah seperti berikut:
[ Petikan daripada "Motivasi Pelajar Cemerlang" http://tatabahasastpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1157&Itemid=491 yang diakses pada 28 Jun 2012. ]

Amanah

Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia juga sedar bahawa segala perbuatannya adalah sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T./ Tuhan yang maha Esa.

Bijak

Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Cergas

Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi

Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok

Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.

Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham

Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih

Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat

Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya itu memberikan suntikan motivasi kepadanya berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman

Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T./Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ia juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.



Komen Anda